Search

Murid perempuan dibuli dalam asrama, tiga pelajar dipanggil bantu siasatan

June 23, 2026

Info X Reporters

TENOM: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang murid perempuan berusia 10 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah ini selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Dalam kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di asrama puteri sebuah sekolah rendah di pedalaman Tenom, mangsa dilaporkan dipukul, ditendang dan ditarik rambut sehingga mengalami kecederaan pada muka serta kaki.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi, Selasa, sebelum membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang merupakan rakan sekelas serta tinggal di bilik asrama yang sama.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terlanggar tali ampaian pakaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh ke tanah.

“Suspek kemudian bertindak memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawanya masuk ke dalam bilik asrama sebelum memukul, menendang serta menarik rambut mangsa berulang kali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, dua lagi pelajar perempuan dipercayai merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit milik suspek utama sebelum video itu dimuat naik ke status WhatsApp miliknya dua hari kemudian.

Katanya, setakat ini tiga individu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terbabit dalam rakaman dan penyebaran video berkenaan.

“Beberapa barang kes termasuk telefon bimbit yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Mangsa juga sudah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala keterangan saksi serta pihak sekolah sedang dirakam,” katanya.

Azmir berkata, polis memandang serius sebarang bentuk buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa terutama membabitkan kanak-kanak.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Terdahulu, satu video didakwa memaparkan perbuatan buli membabitkan murid di sebuah sekolah pedalaman tular di media sosial pada Selasa.

Video berkenaan memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipukul hingga menangis sebelum dipaksa ke bilik air untuk mencuci muka dan dipercayai dirakam oleh rakan yang melakukan perbuatan itu. – Info X