PAPAR: Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Jalan Manggis, Kampung Kaiduan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Najmal Walki dikatakan sedang bermain di tepi sungai berkenaan sebelum tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.28 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari BBP Papar.
“Menurut maklumat awal daripada penduduk kampung di lokasi, mangsa dilihat hanyut di Sungai Kampung Mandalipau dan pasukan bomba terus membuat staging di Jambatan Kampung Mandalipau, kira-kira 3KM dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian atas air selain melakukan dua selaman oleh pasukan PPDA.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu oleh pasukan Papar Water Rafting dan setakat jam 5.10 petang tadi, mangsa masih belum dijumpai.
“Operasi SAR telah ditangguhkan pada jam 5.10 petang dan akan disambung semula esok dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X