Search

Ceroboh kebun bawa senapang angin buatan sendiri

September 1, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menceroboh sebuah kebun sambil membawa senapang angin guli buatan sendiri di Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini, semalam.

Suspek ditemukan sedang duduk di bawah pokok dalam kawasan kebun berkenaan ketika rondaan cegah jenayah dilakukan anggota Balai Polis Bandar Sri Indah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dibuat susulan laporan pemilik kebun yang melihat seorang lelaki tidak dikenali berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu dilihat membawa senapang angin guli buatan sendiri dan dipercayai memotong rantai pada pintu pagar kebun.

“Bertindak atas maklumat, anggota Balai Polis Bandar Sri Indah yang menjalankan rondaan cegah jenayah pergi ke lokasi sebelum menahan suspek yang sedang duduk di bawah pokok.

“Hasil soal siasat awal, suspek menunjukkan lokasi senapang angin guli buatan sendiri berwarna hijau dan hitam yang diletakkan di atas sebuah kerusi di bawah pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wilynton berkata, senjata berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, polis akan terus menjalankan rondaan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan di daerah Tawau terpelihara.

Orang ramai turut diminta segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu atau kegiatan mencurigakan. – Info X