Search

Ugut isteri di hospital, lelaki ditahan

September 1, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengugut untuk mencederakan isterinya yang sedang bekerja di sebuah hospital, di sini, semalam.

Suspek berusia 39 tahun itu turut dipercayai menghantar pesanan suara melalui WhatsApp mengandungi ancaman terhadap keselamatan mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek yang juga suami mangsa datang ke hospital berkenaan sebelum mengugut isterinya kerana dikatakan tidak mengikut arahannya.

“Suspek turut menghantar pesanan suara melalui WhatsApp yang mengandungi ugutan terhadap keselamatan mangsa.

“Mangsa yang bimbang dan takut dengan gangguan serta ancaman berterusan kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop.

Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Polis kini merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi berkaitan serta melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Wilynton menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan sebarang bentuk ugutan atau ancaman terhadap keselamatan diri.

Katanya, mangsa perlu segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi sedemikian bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – Info X