KOTA KINABALU: Jenama makanan segera tempatan, Chunk & Dunk mencipta sejarah apabila rasmi melangkah ke pasaran Filipina, sekali gus menjadi rangkaian makanan segera milik anak Sabah pertama berkembang ke peringkat antarabangsa.
Pelancaran itu disempurnakan menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian Awam antara rakan kongsi Malaysia dan Filipina yang berlangsung di ruang legar utama Suria Sabah, hari ini.
Lebih 2,000 pengunjung membanjiri lokasi acara bagi menyaksikan detik bersejarah berkenaan, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap jenama tempatan yang semakin berkembang pesat.

Chunk & Dunk diasaskan oleh usahawan muda Sabah, Adam Shamil, yang memulakan perniagaan berkenaan dengan menggunakan simpanan peribadi sebelum berjaya membawa jenama itu ke pentas global.
Beliau berkata, kejayaan menembusi pasaran luar negara membuktikan bahawa jenama tempatan dari Sabah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan sekadar pengembangan, tetapi bukti bahawa impian yang dibina di Sabah mampu melangkaui batas.
“Chunk & Dunk bermula hanya sebagai idea yang dibiayai dengan simpanan peribadi saya. Hari ini, ia berkembang ke peringkat antarabangsa dan menjadi simbol bahawa keberanian mengambil risiko mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Chunk & Dunk yang bermula di daerah Penampang kini berkembang dalam tempoh kurang dua tahun dengan enam cawangan, masing-masing lima di Sabah dan satu di Sarawak.
Jenama itu turut dikenali dengan menu unik seperti croffle serta identiti jenama yang kreatif dan dekat dengan generasi muda.

Majlis pelancaran itu dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Stacy Anam, Akim Ahmad, Yazmin Aziz, Elica Paujin dan Dabra Sia.
Acara itu turut dikendalikan oleh pengacara terkenal, Daphne Iking, selain disiarkan secara langsung oleh TV Sabah dengan sokongan Kupikupi FM sebagai rakan media rasmi.
Chunk & Dunk menyifatkan pelancaran itu sebagai langkah pertama dalam strategi pengembangan globalnya, selain berharap kejayaan berkenaan menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan muda Sabah untuk berani menembusi pasaran antarabangsa.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Kajian Pembangunan (IDS), Datuk Dr Ramzah Dambul; Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sawit Kinabalu Sdn Bhd, Datuk Victor Ationg; Pengarah Eksekutif Life Water Berhad
(Sasa & K2 Drinking Water, 2More), Chin Lee Ling; CEO Sabah Convention Bureau, Noredah Othman dan CEO Ooga X Sdn Bhd, Lester Calvin Miol. – Info X