Search

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu kembali semula pada 6 Oktober depan

May 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu akan diadakan semula pada 6 Oktober depan selepas acara berprestij itu dihentikan penganjurannya sejak tujuh tahun lalu.

Acara yang menarik penyertaan dari seluruh dunia itu kali terakhir dianjurkan di Taman Kinabalu, Kundasang di Ranau pada 2017.

Ia juga tidak diadakan pada 2015 disebabkan gempa bumi bermagnitud 6.0 pada skala Richter yang merosakkan sebahagian besar laluan pendakian di gunung berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata, penganjuran semula acara itu mengambil kira situasi semasa yang dilihat sesuai untuk ia diadakan semula.

Katanya, pandemik COVID-19, selain beberapa isu teknikal menyebabkan acara larian di gunung antara yang tertinggi di Asia Tenggara itu ditangguhkan.

“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengadakan Climbathon sekali lagi selepas tujuh tahun tidak dianjurkan. Kita boleh mengadakannya lebih awal tetapi disebabkan pandemik COVID-19 dan beberapa isu teknikal lain, ia terpaksa ditangguhkan.

“Kini kita sudah bersedia dan sebab itulah acara larian ini dianjurkan kembali. Kita menjangkakan sekitar 200 peserta akan menyertai acara Climbathon ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Climbathon yang memasuki edisi ke-31 itu menawarkan tiga kategori kepada peserta iaitu Kategori Lelaki Elit, Wanita Elit dan Lelaki Veteran (40 tahun ke atas).

Christina (tengah) menunjukkan poster Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu 2024.

Christina berkata, bagi edisi kali ini peserta perlu menghabiskan larian sepanjang 26.6 kilometer, masing-masing 13.3 kilometer mendaki dan 13.3 kilometer lagi turun ke garisan penamat.

“Ia benar-benar menguji fizikal dan mental setiap peserta yang akan menyertai larian berkenaan.

“Justeru, kita mengalu-alukan pelari dari seluruh dunia untuk menghadapi cabaran yang hebat ini dan melihat keindahan Gunung Kinabalu,” katanya.

Ketika edisi terakhir pada 2017, pelari Sabah, Safrey Sumping dan atlet dari Filipina, Sandi Menchi Catlona Abahan memenangi gelaran Lelaki dan Wanita Elit.

Pendaftaran bagi menyertai climbathon itu akan mula dibuka pada 4 Jun ini.

Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh dilihat di www.hellosabah.com dan www.climbathon.com.my atau email [email protected]. – Info X