Search

Lelaki maut tersepit, kenderaan jatuh gaung 10 meter

May 29, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terjatuh ke gaung sedalam 10 meter di Jalan Luasong, di sini, malam tadi.

Mangsa Yong Kon Siong, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 7.08 malam.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Yahya Abd Fattah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas sendiri dan terjatuh ke gaung sedalam 10 meter.

“Terdapat seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 9.58 malam,” katanya. – Info X