Search

Cuaca sukar diramal, penduduk perlu sentiasa waspada – Hajiji

February 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengingatkan penduduk, khususnya mangsa banjir supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan cuaca walaupun situasi banjir di negeri ini dilaporkan pulih.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan daerah juga perlu sentiasa bersiap-siaga serta membuat persiapan menghadapi kemungkinan banjir berulang.

“Walaupun daerah-daerah yang terlibat dengan banjir sebelum ini telah mengisytiharkan bahawa bencana itu pulih dan tamat, namun penduduk kampung terutama yang tinggal di kawasan berisiko banjir perlu sentiasa berwaspada.

“Semua perlu sentiasa bersiap sedia berikutan keadaan cuaca yang sukar diramal,” katanya menerusi satu kenyataan berhubung penutupan semua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di negeri ini, kelmarin.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau di Kinabatangan adalah PPS terakhir mangsa banjir yang ditutup selepas banjir melanda beberapa daerah sebelum ini.

Antara daerah lain yang dilanda banjir akibat hujan lebat pada akhir bulan lalu dan awal Februari ini ialah Kota Marudu, Kota Belud, Pitas, Beluran, Paitan, Sandakan, Telupid, Tongod, Lagad Datu, Beaufort, Membakut, Keningau dan Tenom.

Lebih 30 PPS dibuka di semua daerah terbabit dengan jumlah mangsa dipindahkan lebih 5,000 orang akibat banjir.

Anggota APM membersihkan bilik darjah SK Sukau, iaitu PPS terakhir ditutup setelah banjir pulih.

Sementara itu, Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada semua petugas, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ketika banjir berlaku.

“Saya juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak, termasuk orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membantu mangsa banjir semasa bencana itu”, katanya.

Pada 31 Januari lalu, kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman peruntukan sebanyak RM25 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada peruntukan itu, masing-masing menerima sebanyak RM10 juta untuk pembaikan infrastruktur awam di Sabah dan Sarawak, manakala sebanyak RM5 juta lagi iaitu masing-masing sebanyak RM2.5 juta untuk sumbangan kepada keluarga mangsa banjir bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan setiap keluarga akan menerima RM1000.

Hajiji berkata, bantuan segera itu amat diperlukan bagi membantu membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak dan terjejas akibat bencana banjir di beberapa daerah di negeri ini.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan bantuan segera itu”, katanya. – Info X