TAWAU: Seorang lelaki warga emas dipenjara 30 hari dan denda RM10,000 kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan pada Julai tahun lalu.
Tertuduh, Lim Shui Sang, 65, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, semalam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Simpang Lorong Delima, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, 21 Julai lalu.
Tertuduh didapati memandu dalam keadaan mabuk selepas bacaan ujian pernafasan menunjukkan kandungan alkohol sebanyak 167 miligram etil dalam 100 mililiter darah, melebihi had yang dibenarkan.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mabuk sebelum melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang.
Terdahulu, Lim turut mengaku bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 18K Kanun Keseksaan dan Seksyen 152(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pada 21 Ogos 2024.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda terhadap tertuduh masing-masing RM1,800 atau lima bulan penjara jika gagal membayar dan denda RM1,700 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar.
Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.
Majistret kemudian menjatuhi hukuman penjara selama 30 hari dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun. – Info X