Search

Cubaan ‘bunuh diri’ di tiang lampu gagal

June 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang remaja memanjat tiang lampu dalam cubaan ‘bunuh diri’ selepas merajuk dimarahi ibunya di Kampung Sembulan Lama, dekat sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi, lelaki berumur 18 tahun itu dikatakan merajuk setelah dimarahi ibunya sebelum lari ke tebingan Sungai Sembulan dekat Sadong Jaya dan memanjat tiang lampu.

Dia dikatakan mahu membunuh diri dan enggan turun setelah dipujuk orang ramai yang melihat kejadian berkenaan sebelum pihak bomba dipanggil bagi mendapatkan bantuan.

Berikutan itu, seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian pada jam 9.56 pagi bagi memujuk remaja terbabit turun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata setelah tiba, pasukan Bomba menjalankan usaha memujuk mangsa untuk turun dari tiang.

“Mangsa berjaya diselamatkan dan seterusnya diserahkan kepada ibunya untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi operasi ditamatkan,” katanya.

Operasi memujuk mangsa mengambil masa kira-kira sejam setengah sehingga operasi tamat pada jam 11.32 pagi.

Turut berada di lokasi ialah sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal keadaan. – Info X