KOTA KINABALU: Dana RM1.5 bilion yang bakal diterima Sabah menerusi bayaran interim pemberian khas dari Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai perkembangan penting dalam agenda pembangunan infrastruktur negeri ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata tambahan dana itu meletakkan Sabah di landasan yang semakin kukuh dalam usaha mengatasi masalah infrastruktur asas, khususnya berkaitan jalan raya, air dan elektrik.

“Peningkatan Pemberian Khas (Interim) kepada Sabah sehingga RM1.5 bilion setahun yang diumumkan oleh Perdana Menteri merupakan satu perkembangan penting yang dijangka memberi impak besar terhadap usaha kerajaan menangani isu-isu asas rakyat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Tambahan peruntukan ini diyakini akan membolehkan Kerajaan Negeri (khususnya) dan Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan yang lebih menyeluruh kepada penyelesaian keperluan asas rakyat, khususnya berkaitan jaringan jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik yang sekian lama menjadi antara cabaran utama pembangunan Sabah.
“Keutamaan terhadap sektor-sektor ini amat penting kerana ia berkait secara langsung dengan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta daya saing negeri,” katanya mengulas usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu infrastruktur asas menerusi tambahan dana dari bayaran interim pemberian khas kerajaan Persekutuan.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan bayaran interim pemberian khas untuk Sabah kepada RM1.5 bilion ketika merasmikan sambutan Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang.
Azrul yang juga pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata momentum yang ditunjukkan kerajaan ketika ini membuktikan kesungguhan untuk menyelesaikan isu-isu asas di negeri ini secara berperingkat dan terancang.
Jelasnya, pelbagai projek infrastruktur sedang dilaksanakan di seluruh negeri merangkumi jalan raya utama, jalan luar bandar, jambatan serta kemudahan utiliti yang menjadi asas kepada pembangunan jangka panjang Sabah.
“Antara bukti paling jelas ialah perkembangan positif Projek Pan Borneo Sabah yang kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan. Ini merupakan antara projek infrastruktur terbesar yang sedang dilaksanakan di negeri ini, melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer dengan 35 pakej pembinaan dan peruntukan keseluruhan hampir RM25 bilion.
“Setakat April 2026, sebanyak 288 kilometer jajaran di bawah Fasa 1A telah mencapai kemajuan hampir 88 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat. Pada masa yang sama, pelaksanaan Fasa 1B yang melibatkan 388 kilometer sedang giat diteruskan secara berperingkat,” katanya.
Beliau menyatakan keyakinannya, projek itu akan menjadi tulang belakang rangkaian perhubungan Sabah yang menghubungkan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman dengan lebih cekap, selamat dan berdaya saing apabila ia siap nanti.
Jaringan jalan raya yang baik, katanya bukan saja memudahkan pergerakan rakyat, malah mempercepat aktiviti perdagangan, mengurangkan kos logistik, membuka akses pelaburan dan merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
Dalam masa yang sama, Azrul berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan jalan raya di kawasan luar bandar dan pedalaman melalui pelaksanaan projek menaik taraf jalan Sistem Rangkaian Jalan Sekunder (SRT2 dan SRT3) serta Non-Qualified Road (NQR) yang dibiayai menggunakan dana Kerajaan Negeri dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
“Sehingga kini, sebanyak 40 projek melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM687.7 juta telah dan sedang dilaksanakan di seluruh Sabah dengan panjang jalan yang dinaik taraf mencecah 126.47 kilometer.
“Daripada jumlah tersebut, 78.8 kilometer telah siap sepenuhnya, manakala 25.4 kilometer sedang dalam pelaksanaan dan 22.3 kilometer berada di peringkat semakan reka bentuk sebelum kerja pembinaan diteruskan.
“Projek-projek ini merangkumi pelbagai daerah termasuk Beaufort, Beluran, Keningau, Kota Belud, Kuala Penyu, Kudat, Lahad Datu, Nabawan, Papar, Pitas, Ranau, Sandakan, Tambunan, Tawau, Telupid, Tenom dan Tuaran.
“Pelaksanaannya memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya dari segi akses perhubungan, keselamatan jalan raya, kemudahan pengangkutan hasil pertanian serta peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.
Perkembangan itu, katanya membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bukan hanya tertumpu kepada projek mega seperti Pan Borneo Sabah, malah turut memastikan pembangunan infrastruktur asas sampai ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Azrul yang juga pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat di seluruh Sabah.
Dalam masa yang sama, beliau berkata penyelesaian tuntutan Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih yang dikutip oleh Persekutuan di Sabah wajar terus dipercepatkan.
“Hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini penting untuk memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta meningkatkan keupayaan Sabah melaksanakan lebih banyak projek pembangunan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, kemajuan projek Pan Borneo Sabah serta pelaksanaan projek jalan raya luar bandar melalui SRT2, SRT3 dan NQR menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu asas rakyat khususnya dalam soal jaringan jalan raya.
Momentum pembangunan itu, katanya perlu diteruskan agar jaringan perhubungan yang lebih baik dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri. – Info X