Search

Cubaan seleweng 10,000 liter diesel gagal, pemandu lori ditahan

April 23, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Cubaan menyeleweng kira-kira 10,000 liter minyak diesel gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan seorang lelaki dalam Op Tiris di Jalan Paris 3, di sini, hari ini.

Suspek tempatan itu ditahan selepas didapati memandu sebuah lori tangki diesel dalam keadaan mencurigakan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan tidak mempunyai pelekat daripada mana-mana depot sah.

Menurutnya, pemandu terbabit juga gagal mengemukakan dokumen penghantaran bagi mengesahkan destinasi minyak diesel berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas tangki mendapati ia mengandungi anggaran lebih 10,000 liter diesel yang disyaki cuba diseleweng dan diseludup ke negara jiran.

“Seorang lelaki tempatan ditahan, manakala lori bersama muatan diesel dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan minyak diesel dianggarkan mencecah RM51,200.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi, sekali gus memastikan ketirisan dapat dibendung. – Info X