PUTATAN: Siang bergelumang minyak hitam di bengkel, malam bertukar ‘tukang masak’ ketum. Itu kegiatan seorang lelaki yang akhirnya terbongkar apabila dicekup polis dalam serbuan di Kampung Seberang Ulu, di sini, tengah malam tadi.
Dalam operasi ‘Ops Gempur Khas’ kira-kira jam 12.30 tengah malam, sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Ramayah sebelum menahan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan di ruang tamu menemukan guni mengandungi lima ketulan mampat daun ketum dengan anggaran berat lebih lima kilogram.
“Turut dirampas 18 botol berisi cecair disyaki air ketum dengan jumlah keseluruhan kira-kira 27 liter.
“Di bahagian belakang rumah, kita percaya lokasi memasak, polis menemui dapur gas, tong gas dan periuk besi yang digunakan untuk memproses air ketum,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara sampingan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan rekod menunjukkan dia mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah dan racun.
“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM860 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata usaha mengesan pembekal ketum masih giat dijalankan. – Info X