Search

Cubaan seludup minuman keras dari Labuan gagal

July 26, 2023

Info X Reporters

LABUAN: Cubaan seorang lelaki menyeludup minuman keras tidak bercukai dari Labuan gagal apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan PPM Labuan menerusi Op Taring Landai Khas bersama kenderaannya yang sarat dengan muatan minuman keras tidak bercukai, kira-kira jam 8.30 malam.

Difahamkan, lelaki itu cuba membawa keluar minuman keras tidak bercukai dari Labuan melalui perkhidmatan ferry, sebelum dia ditahan di Menumbok.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM140,000.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X