KOTA MARUDU: Enam unit rumah sederet milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Lama di Jalan Korongkom, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.40 malam itu bagaimanapun tidak sebarang kecederaan dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.47 malam.
Katanya, kebakaran membabitkan satu deretan kuarters JKR membabitkan enam unit rumah.
“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera.
“Api berjaya dikawal jam 11.03 malam daripada merebak lebih besar, bagaimanapun keseluruhan kuarters musnah sepenuhnya dan tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Katanya, operasi terkawal pada 11.03 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya 55 minit kemudian.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X