SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 375 liter petrol di perairan daerah ini, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda APMM Sandakan yang sedang menjalankan operasi di kawasan perairan berhampiran mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pihaknya kemudian mengarahkan bot suspek untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
“Juragan bot itu tidak memberikan kerjasama dan memecut laju sambil bertindak membuang 15 tong dipercayai barang kawalan iaitu minyak petrol ke laut.
“Suspek kemudian menuju ke perairan cetek berhampiran daratan dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan mendapati suspek menggunakan enjin sangkut 40 kuasa kuda yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Pasukan APMM kemudian merampas 15 tong yang mengandungi 375 liter petrol, enjin sangkut dan bot dengan jumlah rampasan keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16,000.
“Semua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Info X