KOTA KINABALU: “Tertuduh telah dihukum apabila berada dalam situasi kemurungan dengan pertuduhan yang ‘tergantung dalam kepalanya’, selain menghadapi penghinaan apabila video perbuatannya menjadi tular di media sosial”.
Demikian kata Hairul Vaiyron Othman iaitu peguam mewakili Melona Eva Ezwa Musah ketika menyampaikan rayuan bagi pihak tertuduh, sebelum hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Melona, 27, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, di sebuah Taska, di sini, baru-baru ini, dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau 12 bulan lagi penjara jika gagal membayar denda.
Selain itu, dia juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Amir Syah Amir Hassan yang menjadi hakim bagi kes itu.
Hairul berkata, selain menghadapi situasi kemurungan dan dihina dalam media sosial, tertuduh juga telah dipukul oleh ibu bapa mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada dirinya.
“Dengan mengaku bersalah juga, tertuduh telah menyelesaikan kes itu seterusnya boleh menjaga kedua ibu bapanya dan jika hukuman lebih berat dikenakan, ini telah ‘mengalahkan’ tujuan itu.
“Berdasarkan apa yang disampaikan (rayuan), ia bukan bermaksud yang tertuduh tidak bertanggungjawab atas kesalahannya itu. Mitigasi ini hanyalah untuk supaya dia (Melona) diberi peluang kedua, bukan hanya untuk dia tapi juga untuk ibu bapanya.
“Jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada dia untuk menjadi insan yang lebih baik, supaya dia masih boleh menjadi sebahagian daripada generasi yang baik untuk negara,” katanya.
Terdahulu, Melona dituduh menganiayai seorang kanak-kanak berusia empat tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikalnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Ogos, antara jam 9 hingga 10 pagi di sebuah tadika, di Kampung Seronok Noosob, Penampang.
Kes itu dituduh mengikut Seksyen 31 (1) 2001 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 31 (2) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah juga boleh memerintahkan supaya orang yang disabitkan kesalahan mengikut subseksyen itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat. – Info X