Search

Cubaan seludup petrol tumpas di Semporna

November 26, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup petrol ke luar negara selepas merampas 60 jerikin bahan bakar itu dalam operasi di perairan Kampung Selamat, pagi tadi.

Operasi Pluto Timur 2/2023, digerakkan hasil maklumat risikan Unit Risikan Zon Maritim Semporna mengenai aktiviti penyimpanan petrol yang dipercayai untuk diseludup keluar negara.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli, berkata tindakan pantas anggota bot peronda ADAL 18 membawa kepada penemuan sebuah pondok di kawasan paya bakau yang dipercayai dijadikan lokasi transit penyimpanan petrol.

Beliau berkata, ketika pihak berkuasa menghampiri lokasi itu, penghuni pondok terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota APMM.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 60 jerrycan petrol yang disimpan di pondok berkenaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM5,000.

“Semua barangan rampasan dibawa ke Jeti Azumi, Semporna dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Amir berkata, APMM terus komited mempertingkat kawalan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di perairan Semporna, khususnya di kawasan berisiko tinggi. – Info X