Search

Saya beri jaminan, Fui Fui calon paling rajin turun padang – Frankie Poon

November 26, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Warga Sandakan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura tidak akan rugi sekiranya mereka memilih calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Liau Fui Fui pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17).

Jaminan itu diberikan ‘bekas bos’ kepada Fui Fui, iaitu Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam hantarannya di Facebook.

“Saya berani jamin kepada pengundi Elopura, Liau Fui Fui adalah calon paling rajin! Setiap kali rakyat menghadapi kesusahan, beliau sentiasa muncul di tempat kejadian.

“Ingat lagi ketika gangguan bekalan air besar-besaran di Sandakan? Beliau memimpin pasukan bekerja hingga jam 4 pagi! Calon seperti inilah yang patut kita sokong sepenuhnya!

“Selama tujuh tahun kami telah berkhidmat dengan bersungguh-sungguh (di Sandakan), jika Liau Fui Fui tidak menjalankan tugasnya dengan baik, beritahu saya, saya akan pastikan beliau diperbetulkan!,” katanya dalam hantaran itu.

Frankie turut berkata, seramai 5,000 orang telah menyertai PKDM di Sandakan, hanya dalam masa empat hari selepas beliau dan Fui Fui mengumumkan menyertai parti itu.

Katanya, kekuatan KDM kemudian semakin ‘menyala’ selepas itu apabila lebih 3,000 orang hadir pada hari penamaan calon pada 15 November lalu.

“Kami merayu kepada semua pengundi, kenali simbol bunga Rafflesia, undilah untuk kami.

“Mari kita hantar calon yang benar-benar bekerja ke Dewan Undangan Negeri, untuk memperoleh lebih banyak sumber pembangunan bagi Sandakan!,” katanya lagi. – Indo X