KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) Kinabatangan menyifatkan janji ‘perubahan besar’ dibawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanyalah slogan kosong.
Ketua Penerangan BN Kinabatangan, Rahia Arpaih berkata jika masalah asas gagal diselesaikan sepanjang lima tahun mentadbir, bagaimana mahu membawa perubahan baharu.
Beliau berkata, pembangunan Kinabatangan bukan hasil slogan GRS, tetapi hasil kedudukan, kredibiliti dan jaringan politik nasional Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Dalam Rolling Plan Kelima (RP5) RMK-12, Sabah menerima RM1.45 bilion bagi 327 projek luar bandar, termasuk RM75.63 juta khusus untuk Kinabatangan.
“Semua peruntukan ini untuk jalan luar bandar, bekalan air, perumahan rakyat, kemudahan sosial dan projek pertanian FELCRA adalah hasil lobi politik berkesan Bung, sesuatu yang GRS tidak mampu lakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, transformasi Kinabatangan jelas melalui kerja nyata yang mana infrastruktur, jalan raya mega Pan Borneo Zon Timur, Telupid–Pinangah, Telupid–Tongod, Linayukan–Sook, dan puluhan jalan kampung strategik dilaksanakan di Kinabatangan.
Selain itu, katanya kemudahan awam seperti Kompleks SUHANA, Hospital Kinabatangan, Mahkamah Majistret, Arena Belia, Perpustakaan moden, Pejabat Pendidikan Daerah, bangunan JKR, balai bomba dan dataran bandar juga hasil dibawa Bung Moktar.
“Dalam sektor pendidikan, SMK Bukit Garam, SK Agama Negeri Pekan, SK Kota Kinabatangan juga dilaksanakan.
“Perumahan pula lebih 500 unit PPRT, PPRMS Sukau, Nadma Kg Pelalan, Taman Sejahtera Pelangi, rumah FELCRA, DPPTR dan projek pasca bencana turut dibina.
“Bagi bekalan air dan elektrik, Kg Bilit, Kg Sukau, Kg Tanjung Aru, Kg Maliau, Kuamut, Minusoh dan kawasan pedalaman lain mendapat kemudahan,” katanya.
Beliau berkata, keupayaan itu memerlukan kedudukan politik yang kukuh, penguasaan institusi eksekutif, lobi dana khas dan wawasan pembangunan holistik, semua faktor yang GRS tidak miliki.
“Mereka boleh bercakap tentang ‘perubahan’, tetapi tidak mampu menyamai kapasiti Bung untuk menjana pembangunan berskala besar dan berkesinambungan.
“Jika lima tahun memerintahpun GRS gagal menyelesaikan isu asas, janji ‘perubahan baharu’ hanyalah drama politik yang tidak dipercayai rakyat.
“Kinabatangan berubah kerana kerja nyata Datuk Seri Bung Moktar Radin, bukan slogan GRS.
“Rakyat hanya perlu bertanya, perubahan apa yang kamu janjikan, kalau apa yang wujud hari ini pun bukan hasil kamu,” katanya.
Jelasnya, sudah tiba masa untuk menghentikan eksperimen politik, sebaliknya rakyat perlu memastikan pembangunan yang terbukti berjaya di bawah kepimpinan Bung Moktar diteruskan. – Info X