Search

Cubaan tenggelamkan PBS gagal, 7 kerusi dimenangi bukti masih diterima rakyat – Dr Joachim

December 18, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan kejayaan memenangi tujuh daripada 15 kerusi ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 akhir bulan lalu sebagai bukti parti itu masih diterima rakyat Sabah.

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, mengakui PBS berdepan cabaran dan tekanan sepanjang pilihan raya berkenaan berikutan cubaan pihak lawan untuk menenggelamkan parti yang sudah berusia 40 tahun itu.

“Ramai pihak meramalkan PBS akan hilang selepas PRU Sabah Ke-17 dan ada yang meramalkan bahawa kita hanya mampu mempertahankan dua hingga tiga kerusi saja.

“Namun, hari ini, realitinya jauh berbeza. Kita berdiri kukuh dengan tujuh orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS dan kesemua mereka kini berada dalam Kabinet Negeri Sabah sebagai Menteri dan Pembantu Menteri.

“Pencapaian ini bukan kebetulan, bukan juga hadiah yang jatuh dari langit. Ini adalah bukti bahawa PBS masih diyakini rakyat, kerana perjuangan kita bukan untuk diri kita sendiri tetapi untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dan perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-40, di sini, pada Khamis.

Selain kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang berjaya dipertahankan Dr Joachim, PBS turut mempertahankan kerusi DUN Tandek, Matunggong, Telupid, Kiulu dan Lumadan, selain kerusi DUN Limbahau yang turut diperuntukkan kepada parti itu.

PBS yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagaimanapun tewas di Bengkoka, Kadamaian, Tamparuli, Moyog, Bingkor, Liawan, Sook dan Paginatan.

Terdahulu, Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, berkata PBS berupaya memenangi jumlah kerusi yang lebih besar jika tiada perpecahan dalam parti komponen GRS.

Katanya, perpecahan itu menyebabkan berlaku pecah undi yang menyebabkan calon yang diletakkan parti itu gagal memenangi kerusi yang ditandingi.

Walaupun tidak menyebutnya, beliau dipercayai merujuk tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang keluar dari GRS bagi bertanding solo pada PRN17.

Parti pimpinan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan itu bertanding melawan calon PBS di kerusi yang ditandingi parti itu menyebabkan sokongan pengundi Kadazandusun Murut (KDM) terpecah.

Julita yang juga Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah kemenangan PBS di dua kerusi di utara Sabah, Tandek dan Matunggong juga membuktikan dua kawasan itu masih kubu kuat PBS meskipun ia kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

“Pada PRU 2022 kita kecundang apabila presiden kita tewas di Kota Marudu, tapi kita dapat tebus maruah kita dan kembalikan kekuatan PBS di zon utara pada PRU Sabah Ke-17 apabila berjaya mengekalkan kerusi DUN Tandek dan Matunggong.

“Ia membuktikan rakyat melihat keikhlasan perjuangan kita walaupun ada pihak mahu menjatuhkan kita,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan analisis keputusan PRU Sabah Ke-17, PBS juga dilihat berpotensi memenangi kerusi di kawasan ramai pengundi Cina dan Bumiputera Islam. – Info X