KOTA KINABALU: Baru kira-kira empat bulan mengendali Sabah FC, pengendali Jean-Paul de Marigny dikhabarkan meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.
Berita mengejut itu berdasarkan perkongsian ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap pengendali dari Australia itu yang dimuat naik di akaun Facebook Sabah FC, lewat petang tadi.
“Walaupun perjalanan kamu dengan Sang Badak sangat singkat, impaknya sangat bermakna. Terima kasih Coach atas kepimpinan, kerja keras dan pengaruh positif yang diberikan kepada pasukan.
“Kami benar-benar menghargai segala yang kau berikan. Kamu sentiasa dialu-alukan untuk kembali semula ke sini. Didoakan yang terbaik untuk kamu. Ponsikou, kotohuadan (terima kasih),” kata perkongsian di akaun Facebook Sabah FC itu.
Dalam satu lagi perkongsian di akaun yang sama, de Marigny meninggalkan kata-kata akhir buat pasukan menerusi sepotong ayat yang menyatakan perasaannya terhadap Sang Badak.
“I will depart from the club, but never leave the club (Saya akan berangkat dari kelab, tapi tidak meningglkan kelab),” katanya.
Walaupun Sang Badak kurang menyerlah sejak bermula Liga Super musim ini, namun de Marigny berjaya membawa Sabah ke saingan akhir Piala FA 2025 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad lalu.
Meskipun tewas 5-0, dapat melangkah ke final adalah kejayaan besar beliau sepanjang mengendali skuad Sang Badak sejak mengambil alih kejurulatihan pasukan bagi musim 2025 / 2026 pada Ogos lalu.
Sabah FC berjaya ke perlawanan akhir Piala FA 2025 selepas kali terakhir berpeluang ke peringkat itu 27 tahun yang lalu.
Bagaimanapun, dalam saingan Liga Super, prestasi Sabah FC musim ini agak merosot apabila hanya menang dua kali dan seri empat kali dalam 10 perlawanan setakat ini untuk berada di tangga kelapan dengan mengumpul 10 mata, berbanding di tangga ketiga pada musim lalu.
Peletakan jawatan de Marigny itu berlaku sehari selepas beliau bersama barisan pengurusan Sabah FC dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengadakan pertemuan dengan ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada pertemuan itu, Hajiji antara lain menitipkan kata-kata semangat buat de Marigny untuk meneruskan perjuangan dan kebangkitan skuad Sang Badak.
Bagaimanapun, tiada disebut mengenai sebarang isu yang boleh dikaitkan sebagai punca peletakan mengejut pengendali berumur 61 tahun itu.
Namun, berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, peletakan jawatan de Marigny dikatakan ada kaitan dengan isu kontrak, gaji dan jawatan baharu yang hingga sekarang belum dimuktamadkan pengurusan Sabah FC.
Pengurusan Sabah FC setakat ini, bagaimanapun belum memberikan sebarang komen atau maklum balas berhubung peletakan jawatan mengejut de Marigny itu. – Info X