KOTA KINABALU: Masih ada premis makanan di bandar raya ini dikesan menyediakan makanan dan mencuci peralatan di kawasan kaki lima premis.
Perkara yang menyalahi Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 itu dikesan ketika pemeriksaan dan penggredan premis oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK, baru-baru ini.
Menerusi pemeriksaan di 13 premis makanan di beberapa lokasi antaranya Taman Putera Jaya, Telipok; TNK Commercial Centre; Plaza Tanjung Aru dan Plaza Alamesra pada 25 dan 26 April lalu, satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan berkenaan.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan DBKK, sebuah lagi premis turut dikompaun kerana tidak mempunyai Kad Pengenalan Pengendali Makanan.
“Ada juga pengendali makanan tidak mempunyai sijil kursus Latihan Pengendali Makanan, pengusaha premis tidak memiliki Sijil Kesihatan yang sah dan perangkap lemak tidak diselenggara dengan baik setiap masa.
“Lima Notis Penambahbaikan telah dikeluarkan ke atas beberapa premis bagi penemuan yang dikenal pasti itu,” katanya.
Katanya, DBKK terus komited dalam memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan di bandar raya Kota Kinabalu.
Sementara itu, hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak sembilan premis makanan mendapat Gred A, lima premis mendapat Gred B dan satu premis mendapat Gred C.
“Sebanyak empat premis makanan lagi terbabit dalam pemeriksaan susulan,” katanya.
Selain itu, DBKK turut melaksanakan Penarafan Bintang Tandas di premis makanan yang diperiksa.

“Sebanyak empat premis makanan mendapat tiga bintang ke atas dan lima premis mendapat dua bintang ke bawah.
“Kesemua premis telah diberikan teguran dan nasihat untuk membuat pembersihan dan penambahbaikan terhadap tandas premis mereka,” katanya.
Pada masa sama, katanya sebanyak lima premis didapati ada menjalankan kawalan makhluk perosak (‘pest control’) di premis mereka, manakala empat premis lagi belum membuat kawalan makhluk perosak.
Keempat-empat premis terbabit diberikan teguran dan arahan untuk membuat kawalan makhluk perosak bagi mengawal kehadiran lipas, lalat dan tikus di premis mereka. – Info X