Search

Graduan jurusan teknikal digalak sertai program PROTEGE Projek Lebuhraya Pan Borneo

April 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 2,300 lepasan universiti atau graduan di negeri ini akan diambil untuk menyertai program ‘Professional and Education For Growing Entrepreneurs’ (PROTÉGÉ) menerusi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melalui Sektor Lebuhraya Pan Borneo menyasarkan jumlah itu sehingga 2028.

Katanya, lepasan universiti terutama dalam bidang teknikal digalak untuk menyertai program itu dengan seramai 393 lepasan universiti atau graduan sudah diambil menyertainya setakat ini.

“JKR Sabah melaksanakan program ini menerusi pembabitan pihak Juruperunding Pengurusan Projek, Konsultan Rekabentuk dan kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Sebanyak empat juruperunding dan 15 kontraktor pakej kerja di seluruh Sabah terbabit dalam program ini,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri PMC-HSS Integrated Sdn Bhd dan Ramah Mesra JKR Sabah Bersama Media Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pelaksana projek ketika ini berdepan beberapa kekangan, antaranya sikap graduan yang tidak berminat ditempatkan di kawasan luar bandar berikutan lokasi pejabat tapak pembinaan yang jauh di pedalaman.

Shahelmey pada Majlis Sambutan Aidilfitri PMC-HSS Integrated Sdn Bhd dan Ramah Mesra JKR Sabah Bersama Media Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Selain itu, katanya kekurangan graduan dalam jurusan teknikal dari universiti tempatan turut menyukarkan pihak JKR dan pelaksana projek mendapatkan graduan yang sesuai bagi menyertai program berkenaan.

“Dalam usaha untuk mencapai sasaran 100 peratus di bawah pelaksanaan
projek itu, pihak JKR Sabah dan pelaksana projek telah mewujudkan seketariat utama di bawah Projek Management Konsultan bagi memastikan penglibatan program PROTEGE berjalan dengan lancar.

“Selain itu, pihak JKR Sabah juga menyertai pameran kerjaya anjuran agensi kerajaan seperti PERKESO bagi menarik minat graduan untuk menyertai program berkenaan,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan semasa Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, Shahelmey berkata, sebanyak empat pakej kerja daripada 15 pakej kerja sudah dibuka kepada orang awam dan pengguna jalan raya setakat ini. – Info X