SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa warga asing berusia lingkungan 40 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Fauzi Abd Kadir berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Axia dan Motosikal jenis SYM BX110.
Katanya, pemandu Perodua Axia seorang penjawat awam wanita berusia lingkungan 20 tahun dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Semporna.

“Mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau dan apabila tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Axia hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran dengan motosikal.
“Akibat daripada itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 dan Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Semua pengguna jalan raya khususnya di daerah ini dinasihatkan supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan pada musim hujan,” katanya. – Info X