KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya ‘Blok Borneo’ mahu “mengawal Malaya” disifatkan sebagai usaha untuk melenyapkan perjuangan menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Pemuda Nasional Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang, berkata naratif berkenaan amat mengelirukan dan sengaja dimainkan bagi menafikan hak serta tuntutan sah Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas, malah tidak masuk akal jika dinilai berdasarkan fakta sejarah serta asas pembentukan negara Malaysia.
“Tuntutan Sabah dan Sarawak berlandaskan MA63 bukan bertujuan untuk menguasai atau mendominasi mana-mana wilayah lain.
“Ia sebaliknya menuntut pelaksanaan hak yang telah dipersetujui secara sah semasa pembentukan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Felix berkata, kenyataan segelintir pemimpin dari Semenanjung yang mempersoalkan tuntutan MA63 mencerminkan sama ada kejahilan terhadap sejarah atau kegagalan memahami asas penubuhan negara.
Menurutnya, polemik sedemikian hanya akan mengelirukan rakyat serta menjejaskan semangat persekutuan yang dibina atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin di Semenanjung supaya bersikap adil dan bertanggungjawab ketika mengulas isu berkaitan MA63.
Katanya, penekanan terhadap pendidikan sejarah yang tepat kepada generasi baharu amat penting, khususnya mengenai peranan serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan.
Dalam pada itu, Felix menyeru rakyat Sabah dan Sarawak supaya terus bersatu serta memperkukuh kesepakatan bagi memastikan hak dan kepentingan kedua-dua negeri terpelihara dan dilaksanakan sepenuhnya.
“Masanya sudah tiba untuk kita memastikan sebuah Malaysia yang adil dan saksama. Jurang kemajuan dan pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia tidak seharusnya terus melebar.
“Ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan menerusi komitmen politik yang jelas dan pelaksanaan MA63 secara konsisten,” katanya.
Beliau menegaskan, perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak adalah demi keadilan serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya agenda perpecahan. – Info X