TUARAN: Polis mengesahkan tiada unsur penculikan dalam kejadian seorang kanak-kanak didakwa cuba diculik di Pasar Ikan Tuaran, di sini, semalam.
Kejadian yang tular di media sosial itu sebenarnya membabitkan seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan kesihatan mental yang memasuki sebuah kenderaan dinaiki kanak-kanak berkenaan sebelum cuba menyentuhnya.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan mendapati tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi berjaya membantu kanak-kanak terbabit.
“Kanak-kanak berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
“Berdasarkan hasil siasatan setakat ini, tiada bukti menunjukkan kejadian itu mempunyai unsur penculikan seperti yang didakwa dalam maklumat tular,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Noraidin berkata, lelaki terbabit juga sudah diambil oleh ahli keluarganya dan kini selamat di bawah penjagaan mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya sentiasa mengawasi keselamatan anak-anak terutama ketika berada di tempat awam.
“Jangan meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh yang singkat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya sehingga boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan.
Terdahulu, tular maklumat di media sosial mengenai dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak di kawasan Pasar Ikan Tuaran, semalam, sehingga mendapat perhatian pihak polis. – Info X