Search

Pemandu lori maut tercampak selepas terbabas

October 29, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang pemandu lori maut selepas tercampak keluar daripada kenderaannya yang terbabas di Jalan Keningau – Kimanis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 50 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.07 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah lori tiga tan membawa muatan besi terbabas.

“Pemandu lori berusia 50 tahun dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nelson berkata, tiada operasi menyelamat dijalankan kerana mangsa sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan bomba tiba.

Menurutnya, kehadiran bomba adalah atas permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada mangsa lain terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.07 petang,” katanya. – Info X