Search

Tekong terjun laut elak ditahan, tinggal 200,000 batang rokok seludup

October 29, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang tekong bot sanggup terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas bot laju dikendalikannya mengalami kerosakan enjin ketika dikejar di perairan Kampung Titingan, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, suspek meninggalkan bot bersama muatan 200,000 batang rokok putih tidak bercukai dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan RM190,000.

Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot terbabit dikesan dalam keadaan bergelap ketika pihaknya menjalankan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris.

Katanya, bot laju berkenaan dikesan bergerak dari arah sempadan perairan negara pada kedudukan kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau.

“Sebaik diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, tekong bot bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek bagi mengelak ditahan.

“Bagaimanapun, ketika dikejar, bot berkenaan mengalami kerosakan enjin menyebabkan tekongnya bertindak terjun ke laut dan meninggalkan bot bersama semua muatannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ariffin berkata, keadaan perairan yang cetek selain suasana gelap menyukarkan usaha anggota penguat kuasa mengesan suspek yang melarikan diri.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 20 kotak besar mengandungi kira-kira 200,000 batang rokok putih dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM160,000 termasuk cukai, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin dan muatan berjumlah RM190,000,” katanya.

Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barangan tidak bercukai, khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah di perairan Tawau diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi IPMZ Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X