Search

Dakwaan gangguan seksual di hospital berlaku Oktober lalu – Polis

July 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengarah di sebuah hospital di Sabah yang tular di media sosial sejak semalam sebenarnya membabitkan kejadian yang didakwa berlaku pada Oktober tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, polis sudah menerima laporan berhubung dakwaan itu pada Januari lalu dan siasatan sudah dijalankan sebelum isu berkenaan tular.

“PDRM sudah menerima laporan berhubung kes ini pada Januari lalu, manakala kejadian yang didakwa berlaku adalah pada Oktober tahun lalu.

“Kes ini hanya mula tular di media sosial semalam, namun siasatan polis sudah pun dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Jauteh berkata, kertas siasatan sudah dibuka sebaik laporan diterima dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kes berkenaan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming yang menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli dikaitkan dengan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh serta diberikan perhatian segera oleh pihak berkuasa.

Dalam rakaman itu, beliau berkata, sebarang dakwaan membabitkan gangguan seksual dan buli di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan serta perlu ditangani mengikut saluran dan prosedur sewajarnya. – Info X