Search

DAKWAAN MOHAMADDIN HANYA UNTUK KEPENTINGAN PERIBADI – KETUA BAHAGIAN BERSATU LAHAD DATU

June 29, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Bersatu Lahad Datu, Abdul Hakim Gulam Hassan menyifatkan semua dakwaan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang menyatakan tidak diberi peranan sejak menyertai parti itu dilihat hanyalah bertujuan untuk kepentingan peribadi.

Abdul Hakim berkata, pihaknya melihat tindakan Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu sebagai suatu langkah untuk mencari ruang agar dapat dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya sebenarnya melihat beliau ini lebih kepada mementingkan kepentingan diri beliau berbanding rakyat yang ada di kawasan Lahad Datu.

“Kita tahu beliau mencari ruang bagaimana untuk beliau dapat dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bagaimanapun, saya bercakap sendiri kepadanya sebelum kemasukan beliau, kita  di bahagian Lahad Datu sama ada diperingkat cawangan, ahli, bahagian, srikandi dan armada sudah membuat satu ketetapan yang mana hanya mencalonkan satu nama untuk parlimen pada PRU kelak. ini,” katanya ketika sidang media khas, di sini, hari ini.

Abdul Hakim berkata demikian bagi mengulas alasan Mohamaddin keluar dari Parti Bersatu disebabkan tiada sebarang peranan serta peruntukan diberikan kepadanya sejak menyertai parti berkenaan November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim memaklumkan Mohamaddin adalah Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Bahagian Bersatu Lahad Datu sejurus beliau menyertai Bersatu kerana perkara itu jelas terkandung dalam perlembagaan parti yang menyatakan setiap wakil rakyat adalah secara automatik menjadi Ahli Jawatan Kuasa Bahagian.

“Namun sekiranya maksud beliau dijanjikan peranan untuk memimpin parti adalah jawatan tertentu dalam parti atau bahagian,  selaku ahli politik yang cukup berpengalaman, beliau sepatutnya sedia maklum untuk menjawat satu jawatan dalam parti haruslah menawarkan diri bertanding merebut jawatan tersebut dalam pemilihan parti,” katanya.

Terdahulu,  Mohamaddin, semalam, mengumumkan keluar dari Parti Bersatu dan memaklumkan dirinya kini bergelar wakil rakyat bebas dan tidak menyertai mana-mana parti politik. – Info X