Search

Dakwaan salah laku pengarah hospital selesai disiasat, tindakan sedang diambil – JKNS

July 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Siasatan terperinci kes salah laku membabitkan seorang pengarah hospital di Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini sudah selesai dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas yang dilantik Kementerian Kesihatan (KKM).

Perkara itu dijelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menerusi satu kenyataan media pada Khamis sebagai maklum balas terhadap dakwaan salah laku seorang pengarah hospital yang dikaitkan dengan serangan seksual dan buli di tempat kerja.

Katanya, syor tindakan terhadap pengarah hospital terbabit juga sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

“JKNS memandang serius dakwaan ini dan ingin memaklumkan bahawa siasatan terperinci telahpun selesai dijalankan oleh jawatankuasa khas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menyiasat perkara tersebut.

“Hasil siasatan berkenaan telah diperolehi dan syor-syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta perundangan semasa yang berkuat kuasa,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, JKNS tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya perbuatan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja.

Tegasnya, sebarang perlakuan sedemikian adalah bertentangan dengan nilai integriti serta etika perkhidmatan awam, di samping memberi kesan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja kesihatan.

“JKNS kekal komited untuk memastikan setiap warga kerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, saling menghormati dan kondusif. Sehubungan itu, Jabatan akan terus memperkukuh usaha bagi memelihara integriti organisasi serta kebajikan warga kerjanya.

“JKNS menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan ruang diberikan kepada proses pentadbiran yang sedang dilaksanakan agar dapat disempurnakan secara teratur, adil dan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya. – Info X