Search

Sidang DUN: Beri ruang masyarakat pilih calon Ketua Kampung sebelum dilantik – Madius

July 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran memberi ruang kepada proses saringan dan perundingan bersama masyarakat dalam pelantikan Ketua Kampung di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Madius Tangau, berkata pendekatan itu bukan bertujuan mengurangkan kuasa kerajaan, sebaliknya membantu memilih calon yang benar-benar berwibawa dan diterima rakyat.

“Cadangan ini lahir daripada pengalaman sebenar proses pemilihan Ketua Kampung di Daerah Kecil Tamparuli di mana masyarakat setempat diberi peluang menyuarakan pandangan terhadap calon-calon yang dicadangkan,” katanya.

Beliau menyarankan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Kahamis.

Katanya, beliau menghormati kuasa melantik Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung adalah di tangan kerajaan melalui menteri sebagaimana diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang berkenaan.

“Ketua Kampung yang baik bukan sahaja memenuhi syarat undang-undang, tetapi mestilah mendapat keyakinan masyarakat yang dipimpinnya.

“Maklumat sebegitu selalunya hanya diketahui oleh masyarakat setempat dan sukar dikenal pasti melalui semakan pentadbiran semata-mata, sekali gus menjadikan penglibatan komuniti sebagai nilai tambah kepada proses pelantikan,” katanya.

Madius menegaskan, apabila seseorang Ketua Kampung mendapat kepercayaan rakyat, mereka lebih mudah menyatukan masyarakat, menyelesaikan pertikaian secara damai serta menggerakkan pembangunan kampung.

“Akhirnya, yang mendapat manfaat ialah Kerajaan sendiri kerana dasar dan program kerajaan lebih mudah dilaksanakan dengan kerjasama masyarakat,” katanya. – Info X