KOTA MARUDU: Pengguna jalan raya terkandas hampir dua jam selepas sebatang pokok besar tumbang dan menghalang sepenuhnya jalan utama di Kampung Marudu Laut, di sini, petang tadi.
Kejadian menyebabkan laluan berkenaan terputus apabila pokok dianggarkan sebesar dua pemeluk tumbang merentangi jalan sehingga kenderaan dari kedua-dua arah tidak dapat melaluinya.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Marudu, Leftenan (PA) Rayner Saimon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.09 petang sebelum anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, operasi awal membabitkan lima anggota sebelum empat lagi anggota dihantar sebagai bantuan bagi mempercepatkan kerja mengalihkan pokok berkenaan.
“Anggota menjalankan kerja pemotongan pokok bagi membuka semula laluan, namun saiz dan berat sisa pokok menyukarkan ia dialihkan secara manual.
“APM terpaksa menggunakan winch pada kenderaan operasi untuk menarik dan mengalihkan sisa pokok berkenaan bagi membolehkan laluan dibuka semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rayner berkata, penduduk kampung turut membantu anggota APM mengalihkan sisa pokok yang sudah dipotong.
Menurutnya, pengguna jalan raya terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum laluan berkenaan berjaya dibuka semula kepada kenderaan.
“Operasi selesai sepenuhnya kira-kira jam 5.40 petang selepas semua sisa pokok berjaya dialihkan dan laluan dipastikan selamat untuk digunakan,” katanya. – Info X