Search

Dakwaan skandal rasuah: BBC serah kepada pihak berkuasa siasat video tular

December 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan rasuah video tular yang dikaitkan dengan isu perlombongan mineral membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengerusinya, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata fokus BBC GRS-PH Plus ketika ini ialah khidmat kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Beliau yang juga ADUN Sindumin dan antara dikaitkan dengan video tular itu, berkata soal video berkenaan juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat BBC yang diadakan hari ini.

“Kita tidak membincangkan yang itu (video tular). Itu terserah kepada pihak berkuasa, fokus kita adalah memberi khidmat kepada rakyat.

“Rakyat memahami, saya ingat semua mempunyai cara berfikir yang mana masyarakat sudah mempunyai ‘level’ pendidikan yang tinggi dan boleh membuat penilaian sendiri.

“Tapi bagi kami, kita tidak terganggu dengan itu (video tular) dan kita fokus untuk membantu rakyat dan kita tahu rakyat dahagakan bantuan serta khidmat kami,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat BBC GRS-PH Plus, di sini, hari ini.

Dr Yusof bersama ADUN BBC GRS-PH Plus pada sidang media di Kota Kinabalu.

Antara yang hadir ialah ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah; ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin; ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub dan ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan pihak lawan supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan, Dr Yusof berkata BBC GRS-PH Plus tetap berdiri teguh di belakang Pengerusi GRS itu.

Katanya, mereka juga mengambil pendirian tidak mahu membesarkan perkara itu kerana Ketua Menteri menerima sokongan yang padu daripada ahli BBC.

“Kita tidak mahu membesarkan itu dan pendirian kita, kami di sini sebagai ADUN, berdiri ‘solid’ di belakang Ketua Menteri dan soal letak jawatan itu tidak langsung kita sentuh.

“Hajiji memang Ketua Menteri yang berwibawa yang telah diberi kepercayaan,” katanya.

Terdahulu, Dr Yusof berkata mesyuarat BBC hari ini tertumpu kepada usaha untuk menyantuni rakyat berkaitan pelaksanaan program yang digariskan dalam belanjawan negeri yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, baru-baru ini.

“Banyak projek adalah untuk rakyat, misalnya sumbangan kepada rakyat B40 sebanyak RM300 sebulan, kemudian rumah SMJ sebanuak 40 buah (setiap DUN) dan bantuan kepada penjaja jalanan sebanyak RM5,000.

“Begitu juga projek-projek kecil di bawah kerajaan yang perlu kita selesaikan. Kami berbincang untuk mengatur bagaimana cara kita untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat supaya mereka merasakan dan dapat nikmat daripada apa yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya. – Info X