Search

Kembar seiras konvo bersama, seorang ‘berkaki besi’ kalis cabaran

December 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kekurangan anggota tubuh akibat kemalangan hingga terpaksa menggunakan ‘kaki besi’ menghadiri kuliah tidak mematahkan semangat Jaynie Jamirin untuk menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) itu adalah antara penerima ijazah sarjana muda pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26 yang berlangsung sejak Sabtu lalu.

Lebih manis, Jaynie, 23, bergraduasi bersama saudara kembarnya, Janet yang juga graduan FPEP, hanya berbeza jurusan yang diambil.

Jaynie menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Sumber Manusia) pada sidang ketiga yang disampaikan Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim, manakala Janet menerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan), pada sidang keempat yang daripada Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Kembar seiras berasal dari Tongod itu mengakui berdepan banyak cabaran untuk menamatkan pengajian, lebih-lebih lagi Jaynie yang mana sebelah kakinya menggunakan besi akibat kemalangan jalan raya.

Jaynie (kanan) dan Janet graduan kembar seiras pada Konvokesyen UMS Ke-26.

Jaynie berkata, walaupun dia dan adik kembarnya belajar di fakulti yang sama, namun mereka mengambil jurusan yang berbeza.

“Jadi kami jarang jumpa, hanya pada hujung minggu kami selalu bersama. Hubungan kami ibarat kucing dan anjing tetapi kami saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Di sebalik kekurangan dan cabaran dihadapi mereka, Jaynie membuktikan mampu melakukan yang terbaik dalam pengajiannya apabila berjaya menerima Anugerah Dekan.

Janet pula menyifatkan kakak kembarnya adalah seorang yang kuat dan tidak memerlukan dorongan kerana semangat serta ketekunannya sendiri sudah cukup untuk melangkah jauh.

Berkongsi mengenai rancangan mereka selepas ini, Jaynie berkata dia bercadang menyambung pengajian ke peringkat sarjana, manakala Janet ingin memulakan perniagaan dengan membuka studio photobooth di kampung. – Info X