KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyangkal menjadi dalang di sebalik penularan dakwaan mengenai wujudnya skandal rasuah membabitkan pemimpin politik kerajaan negeri.
Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata parti itu tidak wajar dikaitkan dengan kes berkenaan, lebih-lebih lagi dituduh sebagai dalang.
Jelasnya, isu itu mula tular apabila sebuah portal dalam talian berpangkalan di Kuala Lumpur melaporkan dakwaan rasuah membabitkan pemimpin tertentu tanpa menyatakan nama negeri.
“Jika pun ada ahli UMNO yang berkongsi laporan itu di media sosial, ia hanya perkongsian biasa yang tidak menyentuh mana-mana pihak.
“Justeru, kenapa pula mengaitkan isu ini dengan UMNO dan menuduh parti itu sebagai dalang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kenyataan itu menyusul selepas beberapa hantaran di media sosial mendakwa laporan skandal rasuah yang sedang tular itu sejak beberapa hari lalu itu didalangi parti tertentu, khususnya UMNO.
Awang Aslee berkata, isu yang tular itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan sisatan sekiranya ada laporan.
“Jika benar-benar berlaku dan membabitkan pemimpin di negeri ini dan ada laporan, sudah tentu pihak berkuasa akan menyiasat bagi mengheret mereka ke muka pengadilan, justeru kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dan memandang serius isu ini,” katanya.
Katanya, negeri ini perlu bebas daripada rasuah sejajar iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertekad untuk terus membanteras amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak yang menuduh UMNO terutama ‘cybertrooper’ agar tidak mengaitkan parti itu sebagai dalang dalam pendedahan dakwaan skandal rasuah berkenaan.
“Sekiranya SPRM mencapai keputusan dan tiada masalah, ‘so be it’, tetapi sekiranya SPRM merasakan ada sesuatu, ambil tindakan, jangan timbulkan persepsi selagi siasatan belum selesai,” katanya. – Info X