Search

Kereta jadi ‘stor’, PGA rampas rokok seludup

November 13, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Helah dua lelaki menjadikan kereta jenis Proton Wira sebagai stor simpanan rokok tidak bercukai terbongkar apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sekitar daerah ini, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Batalion 22 PGA Kunak ketika menjalankan operasi ‘Op Taring Alpha 1’, jam 7.50 pagi.

Anggota Batalion 22 PGA Kunak memeriksa kereta Proton Wira yang dijadikan stor simpanan rokok tidak bercukai. – Foto/PGA

Pegawai Pemerintah Batalion 22 PGA Kunak berkata, tangkapan dan rampasan rokok tidak bercukai itu hasil risikan yang dilakukan dan berjaya mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan operasi kemudian menahan dan hasil pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira menemui rokok pelbagai jenama disembunyikan di bahagian bonet kereta berkenaan.

Rokok seludup yang dirampas oleh anggota Batalion 22 PGA Kunak dalam Op Taring Alpha 1 di Semporna. – Foto/PGA

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam,” katanya.

Tambahnya, pihak Batalion 22 PGA Kunak, amat mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyampaikan maklumat sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di daerah ini. – Info X