Search

Dakwaan skandal rasuah : Penyebaran klip video ADUN bermotif dendam, sakit hati – Beliawanis Gagasan Rakyat

December 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan penyebaran klip video dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan isu pengurusan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) sebagai tindakan sakit hati dan dendam.

Ketuanya, Emmie Martin Idang, berkata, ia berikutan keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membatalkan Lesen Mencarigali atau Prospecting Licence (PL) untuk meneroka sumber mineral berharga yang ada di negeri ini.

Katanya, keputusan yang dibuat secara pentadbiran itu dijadikan ‘kuda tunggangan’ oleh sesetengah pihak yang mengambil kesempatan untuk mendesak Ketua Menteri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Niat buruk itu hanya merugikan rakyat memandangkan Belanjawan Negeri 2025 yang menekankan kebajikan dan kemudahan rakyat baru saja dibentang pada bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau memberi maklum balas terhadap desakan UMNO Sabah menerusi tiga sayap parti itu yang mahu Hajiji meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri berikutan penyebaran klip video beberapa ADUN yang didakwa memaparkan unsur rasuah dalam pengurusan sumber mineral di negeri ini.

Emmie berkata, pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat sentiasa bersikap neutral dalam membuat pertimbangan kerana tidak mendesak mana-mana ADUN UMNO negeri yang sebelum ini dilapor berdepan proses mahkamah.

“Pada hemat kami, biarlah hukuman dan penentuan itu diadili dengan sebaiknya dengan prinsip ’innocent until proven guilty’.

“Jika Pergerakan Puteri UMNO merasakan ada keperluan untuk Ketua Menteri meletak jawatan, mereka seharusnya mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah terlebih dahulu meletakkan jawatan memandangkan pertuduhan sudah dilakukan dan dibuktikan ada kes prima facie untuk mahkamah mengeluarkan perintah bela diri.

“Sebaliknya, tiada sebarang sabitan ataupun laporan kepada mana-mana pihak berkuasa ke atas Ketua Menteri,” katanya.

Katanya, pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama pimpinan parti itu yang secara terbuka dan sukarela untuk bekerjasama dengan pihak berwajib bagi memastikan siasatan rapi dijalankan secara telus dan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Jelasnya, perkara itu penting bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang sahih dan tepat berkaitan proses siasatan yang dijalankan.

“Kami juga menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik jahat yang digunakan parti politik sebagai alasan untuk melemahkan dan menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan demi kepentingan mereka,” katanya. – Info X