KOTA KINABALU: Tindakan pemimpin UMNO Sabah melalui pergerakan sayap parti itu mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, meletak jawatan dilihat berniat jahat, selain tidak berasas dan mahu menjejaskan imej kerajaan.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, berkata kenyataan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah berhubung desakan itu adalah sesuatu yang tidak wajar.
Katanya, ia seolah-olah menghukum seseorang sebelum disiasat dan disabitkan kesalahan dalam isu yang dikaitkan dengan penyebaran klip video beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
“Kita tahu bahawa video-video tular yang mengaitkan beberapa pemimpin dalam Gagasan Rakyat itu belum ditentukan kesahihan dan bersifat fitnah selagi pihak berkuasa belum menentukannya.
“Tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai kuasa untuk menghukum atau menghakimi selagi sebarang keputusan salah laku belum dinyatakan oleh pihak berkuasa dengan sewajarnya. Hentikan segala tuduhan dan hasutan jahat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Redonah sebaliknya berkata, desakan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah itu cuba mengalihkan perhatian mengenai kes mahkamah membabitkan pimpinan utama UMNO Sabah.
Perbuatan itu, katanya jelas mempunyai niat lain dan cuba untuk ‘menghalalkan’ usaha menghasut rakyat.
“Selain itu, tindakan itu juga seolah-olah mereka ingin pimpinan UMNO Sabah membuat ‘Langkah Kinabalu II’ atau terdesak untuk diadakan pilihan raya segera.
“Sabar, tidak perlu gelojoh dan terlalu kemaruk untuk memegang tampuk pemerintahan negeri Sabah. Sampai masa kelak, PRN pasti akan berlangsung juga. Fokus kita sekarang adalah bantu rakyat Sabah, bukan jadi batu api,” katanya.
Katanya, Ketua Menteri sudah memberi jaminan pentadbiran beliau berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan kejujuran dan ia terbukti apabila beberapa pemimpin yang difitnah datang sendiri ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.
“Mereka tidak pernah lari dan memberi kerjasama kepada agensi terlibat seperti SPRM. Ini membuktikan pemimpin Gagasan Rakyat bertindak secara benar dan telus dan menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat yang dilemparkan terhadap mereka,” katanya. – Info X