KENINGAU: Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak perempuan melecur selepas kebakaran memusnahkan hampir separuh dapur rumah mereka di Taman Adika 7B, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, kebakaran membabitkan rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 93 meter persegi dengan kemusnahan dianggarkan 45 peratus di bahagian dapur.
Mangsa terlibat ialah David Adam, 36, bersama isterinya, Evonith Paguia Ehip, 26, serta anak perempuan mereka, Galilee Georgia David Adam, 4, yang masing-masing mengalami kecederaan melecur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum 10 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, lelaki berusia 36 tahun itu dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba, manakala isterinya dan anak mereka diberikan rawatan awal di lokasi.
“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X