Search

Hilux hilang kawalan, rempuh empat kenderaan di jambatan

April 27, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Lima kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pekan Beaufort, Jalan Papar – Sipitang, di sini, petang semalam selepas sebuah Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Isuzu D Max.

Perlanggaran itu menyebabkan kenderaan yang dirempuh tersorong ke belakang lalu melanggar sebuah Perodua Viva di belakangnya.

Situasi menjadi kelam – kabut apabila pemandu Hilux berkenaan dipercayai panik lalu mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Vios.

Akibat hentaman itu, Vios berkenaan turut tersorong ke belakang dan melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Aruz.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila orang awam merakam keadaan selepas kemalangan berkenaan, manakala pemandu Toyota Hilux terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari arah Sipitang menuju ke Papar.

“Apabila sampai di lokasi, kenderaan berkenaan dipercayai gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan pelanggaran berantai.

“Bagaimanapun, semua pemandu yang terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux dibawa ke Hospital Beaufort untuk ujian darah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X