Search

Tiga lelaki ditahan, syabu hampir 80 gram dirampas di Sipitang

April 27, 2026

Info X Reporters

SIPITANG: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas polis merampas dadah disyaki syabu seberat 77.9 gram bernilai kira-kira RM8,000 dalam serbuan di Kampung Tanjung Pagar, di sini, Sabtu lalu.

Serbuan jam 4.15 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Balai Polis Sindumin dan Sipitang.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suanda berkata, suspek pertama berusia 39 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan satu paket plastik mengandungi dua bungkusan berisi hablur jernih disyaki syabu.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki tempatan berusia 29 dan 27 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di lokasi sama kira-kira jam 10.31 pagi.

“Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta wang tunai berjumlah RM24,225 dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan awal,” katanya.

Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(a) akta sama.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah terbabit,” katanya. – Info X