Search

Belum ada perancangan wujudkan Majlis Daerah Sook

April 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah buat masa ini belum mempunyai perancangan untuk mewujudkan Majlis Daerah Sook yang tersendiri.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata cadangan penubuhan pihak berkuasa tempatan (PBT) baharu itu memerlukan penelitian menyeluruh berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (BN-Sook) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

“Bagi pewujudan Majlis Daerah Sook, beberapa kriteria perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan syarat pewujudan PBT dipenuhi,” katanya.

Mohd Arifin menjelaskan, PBT terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Dewan atau Majlis Bandaraya, dengan setiap kategori mempunyai garis panduan tertentu berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2025.

Katanya, antara kriteria utama pewujudan Majlis Daerah termasuk mempunyai populasi kurang daripada 150,000 penduduk, hasil pendapatan tahunan melebihi RM5 juta tetapi kurang RM25 juta, serta kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang mencukupi.

Selain itu, katanya, kawasan berkenaan juga perlu mempunyai struktur tadbir urus interim sekurang-kurangnya tiga tahun, kelulusan persempadanan semula serta pelan pembangunan yang jelas bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian masih boleh mempertimbangkan penubuhan sesuatu majlis daerah walaupun belum memenuhi sepenuhnya semua kriteria berkenaan.

“Pertimbangan utama adalah keupayaan majlis daerah baharu itu untuk berdiri sendiri dengan sumber kewangan yang kukuh,” katanya. – Info X