Search

Pembayaran pampasan Pan Borneo di Silam, Lahad Datu dilaksana berperingkat

April 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengesahkan pembayaran pampasan serta bayaran ihsan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam dan Parlimen Lahad Datu sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata proses itu melibatkan tanah yang terjejas di bawah Pakej 19 hingga 23 projek berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Mohd Yusof Apdal (Warisan-Silam) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

“Bagi tanah bergeran yang mempunyai hak milik sah serta telah dikenal pasti dan diwartakan, proses pengeluaran tawaran pampasan kepada pemilik sedang dilaksanakan selaras Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69).

“Pembayaran akan dibuat oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah selepas semua dokumen persetujuan lengkap diterima daripada pemilik, dan ia dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi tanah kerajaan, pemberian pampasan tertakluk kepada pengeluaran perintah oleh Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah.

“Sehingga kini, perintah rasmi masih belum dikeluarkan, menyebabkan pembayaran bagi kategori ini belum dapat diproses,” katanya.

Sementara itu, Joachim berkata tiada bayaran pampasan atau saguhati diberikan kepada struktur atau bangunan yang terletak dalam rizab jalan, selaras dasar dan arahan agensi pelaksana.

Bagaimanapun, katanya, bagi struktur yang berada dalam rizab selain rizab jalan seperti rizab sungai, utiliti atau rizab agensi lain, pertimbangan bayaran saguhati boleh diberikan.

“Ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta penilaian oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berdasarkan garis panduan semasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan bagi pembayaran pampasan kepada pemilik tanah dan struktur yang mempunyai hak milik sah telah disediakan kerajaan.

“Peruntukan ini disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi memastikan pembayaran kepada pemilik yang layak dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya. – Info X