Search

Datuk rogol cucu ditahan polis

March 8, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang warga emas ditahan selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan yang juga cucunya pada awal bulan ini.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa yang berumur 10 tahun mengadu sakit di kemaluannya dan dibawa oleh ibu saudaranya untuk pemeriksaan di hospital.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, ketika menerima rawatan, mangsa menceritakan kepada doktor yang merawatnya bahawa dia banyak kali dirogol oleh suspek sejak berusia lima tahun.

“Kejadian pertama berlaku pada tahun 2020 dan kali terakhir berlaku pada 1 Mac lalu di tandas rumah datuknya ketika kedua-dua ibu bapanya menemani adik bongsunya di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan pembedahan jantung.

“Mangsa memberitahun semua kejadian itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa kerana takut dipukul oleh suspek selain tidak memahami mengenai perlakuan salah itu terhadapnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, mengikut laporan doktor perubatan, terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Susulan itu katanya, suspek berusia 62 tahun berjaya ditahan polis di rumahnya pada jam 1.15 pagi, 2 Mac lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan. – Info X