KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan runtuhan membabitkan lantai tingkat satu sebuah bangunan kedai di Kompleks Segama, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, larangan berkenaan berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan dan kawasan diisytiharkan selamat.
“Kerjasama daripada semua pihak amat dihargai untuk memastikan
keselamatan semua yang terbabit.
“Polis juga menempatkan enam anggota dari Balai Polis Kota Kinabalu untuk menjaga dan mengawal lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, setakat ini pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan tiada risiko tambahan kepada orang awam.
Mengulas mengenai kejadian itu, Kasim berkata pasukan keselamatan digerakkan ke lokasi sebaik Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima maklumat mengenai kejadian melalui panggilan kecemasan daripada orang awam.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama 15 pegawai dan anggota dengan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) tiba di lokasi kejadian dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa terbabit.
“Pasukan penyelamat menemui seorang wanita warga China berusia 55 tahun yang cedera patah di bahagian kaki sebelah kiri.
“Mangsa dibawa ke HQEI untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, katanya tingkat dua dan tiga yang juga bilik sewa diduduki seramai 55 penghuni di kosongkan untuk tujuan keselamatan dan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sebuah pusat penempatan sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu untuk menempatkan penghuni yang terjejas,” katanya.
Terdahulu, keadaan sebuah restoran dan rumah penginapan yang ranap selepas lantai tingkat satu sebuah bangunan kedai di Kompleks Segama, Kota Kinabalu runtuh pada kira-kira jam 8 malam tadi.
Restoran yang berada di tingkat bawah ranap akibat timbunan lantai tingkat satu yang runtuh, sekali gus menyebabkan lantai rumah penginapan di tingkat atas berlubang besar. – Info X