KOTA KINABALU: Sabah memperlihatkan daya tahan ekonomi yang kukuh sejak lima tahun kebelakangan ini, walaupun berdepan pelbagai cabaran di peringkat domestik atau global.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata dalam tempoh itu, Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi.
Katanya, pencapaian ketara pada tahun lalu dengan rekod RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, menunjukkan peningkatan hampir 208 peratus berbanding 2024.
“Untuk terus melonjakkan prestasi ekonomi, kerajaan negeri komited memperkukuh dan memacu pembangunan melalui pendekatan yang kebih inklusif serta mampan dan memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan pengukuhan infrastruktur.
“Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) 2026-2030 sudah dilancarkan sebagai kerangka induk yang menerajui pembangunan negeri dengan mengekalkan tiga teras utama iaitu Sektor Utama Pertumbuhan Ekonomi, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
“Pelan ini diperkukuhkan lagi dengan penekanan strategik terhadap pembangunan ekonomi biru, pendigitalan dan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Tun Musa berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030, sebanyak 10 bidang keutamaan berpaksikan keperluan dan potensi sebenar negeri Sabah sudah dikenal pasti.
Katanya, sebanyak 1,173 projek sudah dirancang, dengan 933 daripadanya adalah projek baharu, manakala selebihnya adalah projek sambungan.
“Secara keseluruhannya, jumlah siling peruntukan yang diperakukan adalah RM12.024 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 141.62 peratus berbanding siling di bawah RMK12. Peningkatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan negeri dalam memacu pembangunan,” katanya. – Info X