KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meminta semua pihak di negeri ini supaya bertenang dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Katanya, krisis yang berlaku di Asia Barat turut memberi kesan kepada ekonomi domestik yang boleh mempengaruhi inflasi berikutan kenaikan kos minyak dan logistik antarabangsa.
“Seperti yang semua sedia maklum, ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk ekonomi domestik.
“Keadaan ini dijangka memberi tekanan inflasi terhadap harga barangan keperluan dan bekalan makanan susulan kenaikan kos minyak serta peningkatan perbelanjaan logistik antarabangsa.
“Dalam menghadapi situasi yang tidak menentu ini, saya menyeru semua pihak agar kekal tenang dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Khamis.
Tun Musa berkata, menyedari cabaran luaran itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah proaktif bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Usaha itu, katanya penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dan memastikan kestabilan yang berterusan.
“Perancangan dan pembangunan yang telah dirangka ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak.
“Sudah tiba masanya kita bersatu hati, tanpa mengira kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik untuk bersama membangunkan negeri ini dengan penuh tanggungjawab, demi kemajuan serta kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan semua pihak yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan, keamanan serta kestabilan negeri.
Katanya, komitmen dan dedikasi
seperti itu menjadi tonggak dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. – Info X