KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan serius memantau tanaman landskap terutama pokok besar yang berisiko membahayakan keselamatan orang ramai dan harta benda di bandar raya ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata pihaknya menyedari hujan lebat dan angin kencang yang sering melanda kebelakangan ini boleh menyebabkan pokok tumbang atau dahan patah.
Berikutan itu, katanya Jabatan Landskap DBKK menggandakan pemeriksaan dan penyelenggaraan pokok besar dalam usaha mengurangkan risiko bahaya kepada orang ramai.
“Kerja-kerja pemangkasan dahan pokok dilakukan dari semasa ke semasa selain meneliti tahap kesihatan pokok bagi mengenal pasti risiko pokok tumbang terutama pokok-pokok matang di kawasan jalan utama.
“Penjagaan dan pemantauan kesihatan pokok dan penyelenggaraan pokok mengikut amalan arborikultur yang betul sangat penting bagi mengelak kes pokok tumbang hingga mengakibatkan korban nyawa dan kerosakan harta awam,” kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu, DBKK berkata ketika ini ada sebanyak 18,756 pokok matang atau pokok yang sudah berusia berada di bawah seliaan DBKK.

Semua pokok terbabit, katanya dipantau dengan teliti mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Selain itu, katanya DBKK juga merangka Pelan Pengurusan Pokok Matang yang komprehensif merangkumi pelan mitigasi pokok dan beberapa pelan tindakan lain secara menyeluruh yang akan dilaksanakan segera.
Antara pelan tindakan itu ialah memperkemas inventori pokok, membuat pembelian jentera baharu, menambah bilangan kakitangan, memberikan latihan kemahiran pemangkasan pokok, menyediakan garis panduan menangani pokok berisiko dan garis panduan kerja utiliti melibatkan pokok serta meningkatkan tindakan pemeriksaan pokok oleh arborist bertauliah.
“DBKK memberi perhatian terhadap aspek pengurusan pokok kerana pokok-pokok yang diurus dan diselenggara dengan baik bukan sahaja dapat mengelak risiko bahaya, tetapi juga dapat memberi faedah pada aspek fungsi, estetika dan ekologi dalam menghasilkan persekitaran yang kondusif serta berkualiti.
“DBKK akan sentiasa meneruskan usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan meningkatkan tahap keselamatan warga bandar raya Kota Kinabalu,” katanya dalan kenyataan itu. – Info X